Oleh Dr. Marzuki Ibrahim
   
  | 
|   Kereta konsep Proton.    | 
 PELBAGAI cara telah dijalankan oleh pengeluar kereta utama negara ini  untuk bersaing dan mengekalkan peratusan jualan yang tinggi pada  kenderaan masing-masing. 
 Antara langkah yang diambil adalah memperkenalkan model baru,  menambahbaik model-model sedia ada, memperkenalkan ciri-ciri baru serta  menurunkan harga. 
 Bagaimanapun, langkah-langkah itu masih belum dapat memuaskan hati  sebilangan pembeli-pembeli kereta di negara ini.
 Bagi mengatasi masalah ini, kereta konsep boleh memainkan peranannya  yang tersendiri dalam memajukan lagi sektor automotif di Malaysia.  Kereta konsep boleh dijadikan sebagai bahan menguji reka bentuk kereta  yang berpotensi untuk memenuhi selera pembeli pada masa hadapan. 
 Walaupun terdapat beberapa kes di mana kereta konsep ini tidak dapat  dikeluarkan disebabkan beberapa faktor penghalang seperti kos dan rekaan  yang tidak praktikal, namun kepentingannya kepada pengeluar kenderaan  tidak boleh dipertikaikan lagi. 
 Ia merupakan satu medium terbaik untuk menguji tahap kemampuan sesebuah  syarikat pengeluar kenderaan dalam mempertingkatkan saingan mereka di  masa hadapan. 
 Kereta konsep, terma yang digunakan bermula 1980-an, merupakan  prototaip kereta yang diperbuat daripada bahan seperti lilin, tanah  liat, logam, gentian kaca atau plastik bertujuan memperaga konsep,  penggayaan terbaru serta teknologi masa hadapan.
 Bertepatan dengan perkataan ‘konsep’ yang begitu sinonim dengan artis  dan pereka, kereta konsep boleh diibaratkan sebagai satu manifestasi  seni seseorang pereka kereta dalam mengetengahkan eksplorasi idea mereka  untuk dihidangkan kepada khalayak. 
 Lantaran itu, tidak hairanlah jika sesebuah kereta konsep yang  dipamerkan lebih mementingkan kepada aspek penggayaan luaran berbanding  teknologi baru. 
 Kereta ini biasanya akan dipertontonkan kepada umum pada pameran  kereta antarabangsa yang dihadiri oleh pembeli dan peminat kereta,  pengedar dan pengeluar. 
  
 Sejarah
 Mengimbau sejarah automobil yang dilahirkan di Jerman pada 1886, ia  lebih tertumpu kepada aspek mekanikal dan bukannya reka bentuk dan  penggayaan luaran badan kereta. 
 Sehinggalah pada tahun 1938, Harley J. Earl, Naib Presiden Bahagian  Penggayaan General Motors telah memperkenalkan kereta idaman atau kereta  eksperimental yang pertama di dunia yang dinamakan Y-Job.
 Dengan menawarkan pembeli dengan aspek kejuruteraan dan penggayaan  terkini, rekaan ini telah mendapat sambutan yang begitu hangat  sehinggakan syarikat mereka menjadi begitu popular dalam sekelip mata  sahaja. 
 Melihat kepada senario ini, General Motors seterusnya memperkenalkan  kereta konsep mereka melalui pameran bergerak yang dinamakan Motorama  Shows. 
 Kebanyakan kereta yang diperkenalkan mereka pada masa itu  berkonsepkan cantik bila dipandang, reka bentuk futuristik dan radikal,  enjin yang berkuasa dan kadang-kala memperkenalkan teknologi yang  kontroversial. 
 Antara kereta konsep yang paling unik dan radikal pernah dipamerkan  ialah kereta Concept 2096 yang telah dipamerkan di Pameran Auto Britain  pada tahun 1996. 
 Apa yang menarik, kereta yang berkonsepkan binatang air yang berkulit  keras ini adalah hasil usahasama pelajar dan pensyarah daripada  Conventry University, United Kingdom.
 Berbalik kepada senario di Malaysia, kereta konsep sebenarnya pernah  suatu ketika dahulu diperkenalkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan  Alam Sekitar sekitar Oktober 1993 melalui satu pertandingan reka bentuk peringkat nasional. Tujuan  utama diadakan pertandingan ini ialah untuk mencungkil kreativiti rakyat  tempatan serta merangsang minda dengan idea-idea baru di bidang  automotif. 
 Sambutan yang diterima daripada rakyat Malaysia terhadap pertandingan  ini amat memberangsangkan dengan 115 penyertaan diterima. 
 Namun, agak malang sedikit, selepas pertandingan ini diadakan, tiada  usaha-usaha berterusan daripada pengeluar kenderaan tempatan untuk  menjadikan kereta konsep sebagai satu pelaburan penting dalam memenuhi  selera pembeli dan sekaligus mempertingkatkan saingan mereka di pasaran  masa hadapan.
 Dengan jumlah pengeluaran kereta penumpang yang diramalkan akan  mengalami sedikit peningkatan berbanding tahun lepas, industri automotif  di Malaysia dilihat mempunyai banyak ruang untuk terus maju dan  berkembang pada masa hadapan. 
 Memandangkan selera pembeli kereta di negara ini pada hari ini  dilihat begitu mementingkan aspek penggayaan badan kereta, maka  pengenalan kereta konsep diyakini dapat memenuhi keperluan itu. 
 Diharap dengan memperkenalkan kereta konsep ini, maka kereta yang  akan dihasilkan nanti benar-benar sesuai dengan pembeli, mampu dimiliki  dan memenuhi keperluan golongan sasar.