'Create

Monday, July 5, 2010

Jepun yang tersembunyi

Jauh di dalam hutan tebal di ketinggian 3,500 kaki di atas paras laut, sebuah taman ala Jepun dicipta khusus untuk para pencinta alam.





SPESIES tumbuhan dari Jepun hidup subur bersama pokok-pokok tropika Malaysia.



GELAGAT kumpulan ikan koi yang jinak begitu mencuit hati.



ELEMEN jambatan menjadi pelengkap landskap tipikal Jepun.



TAMAN Jepun dihubung secara langsung dengan taman botani.


KALAU merencana detik percutian hujung minggu ke Bukit Tinggi Resort, Pahang dan inginkan persinggahan yang tenang dan mendamaikan, inilah tempatnya. Taman yang direalisasi daripada ilham arkitek Jepun, Kaio Ariizumi, ini sememangnya hadiah istimewa buat mereka yang mencintai kehijauan hutan tropika tanah tinggi.

Dalam suhu dingin dan kesegaran bekalan oksigen daripada pokok-pokok hutan semula jadi, Ariizumi dan kumpulan pereka landskapnya berjaya menghidupkan penataan seni yang membangkitkan rasa damai di kalangan pengunjung.

Tidak banyak berbeza daripada elemen rias taman Negara Matahari Terbit, Japanese Village ini menyambut pengunjung dengan pintu gerbang chumon dan laluan denai yang kemas. Seni dan falsafah Jepun banyak melatari persekitaran taman, baik pada pemilihan bangku rehat, jenis tanaman hiasan hinggalah kepada reka bentuk keseluruhannya.

Perasaan dilayangkan seketika ke dalam adegan drama-drama Jepun apabila melewati deretan rumpun buluh tinggi dan juga pokok-pokok renek dan ara bonsai. Dalam pada menghargai perkampungan tersembunyi ini dengan mata, deria pendengaran juga pasti terpaut pada irama yang satu ini.

Aliran air di sungai dan riak bunyi air terjun yang menghempas ke bongkah-bongkah batu berlumut nyata menjadi tarikan istimewa! Disempurnakan pula dengan pembinaan kolam ikan yang menghimpunkan spesies koi dalam warna-warna garang.

Si comel bersisik kuning, merah, emas, dan perak itu tidak malu-malu untuk meminta makanan setiap kali ternampak kelibat manusia. Dalam leka menabur palet makanan yang dijual pada harga serendah RM5 sebungkus, takungan kolam indah dan anak sungai cetek itu seterusnya membawa pengunjung ke pusat tumpuan taman.

Apa yang dimaksudkan adalah sebuah binaan pondok teh yang turut bertindak sebagai pusat maklumat. Bagi yang tidak pernah sampai ke Jepun, inilah masanya untuk mempelajari adat bertandang ke kediaman yang bertikar tatami dan berpintu gelangsar kertas.

Sama ada mengikuti ritual tradisi meminum teh panas atau mendekati pembuatan kraf tangan negara itu, pondok tersebut memang tidak putus menerima kunjungan sepanjang waktu operasi.

Melalui risalah yang disediakan, sebuah taman Jepun perlu memiliki elemen penting seperti pulau, jambatan, pelita batu dan juga sebuah pondok teh atau pavilion. Jika elemen-elemen itu tidak dapat direka secara fizikal, ia boleh dibuat secara perlambangan.

Walaupun sudah puas berjalan dan mengenal spesies tumbuh-tumbuhan yang dilabel khas, adalah terlalu awal untuk mengucapkan sayonara. Apa kata anda kunjungi dahulu restoran Ryo Zan Tei yang menghubungkan taman itu dengan laluan ke Taman Botani.

Bagi yang mahu merasai tradisi kehidupan Jepun secara lebih intim, jangan lupa untuk merasai perkhidmatan belaian tubuh dan penginapan eksklusif di Tatami Spa dan Ume Tatami Suite yang terletak berdekatan.


PELBAGAI jenis teh dan hidangan Jepun disajikan di Restoran Ryo Zan Tei.


petikan daripada kosmo

No comments:

Post a Comment