'Create

Friday, July 2, 2010

ekonomi:petronas raih untung bersih RM40.3 billion

PETRONAS raih untung bersih RM40.3 bilion
Oleh Azli Ayob
azliayob@bhaian.com.my
2010/07/02

pix_gal0
Permintaan tenaga global merosot punca hasil susut

PETRONAS meraih keuntungan bersih RM40.3 bilion dalam tahun kewangannya yang berakhir 31 Mac 2010, merosot 23.2 peratus daripada RM52.5 bilion dalam tahun kewangan sebelumnya

Keuntungan lebih rendah itu berpunca daripada kemelesetan ekonomi global yang menyebabkan berlakunya pengurangan permintaan bagi tenaga di kalangan pengguna dan industri.
Kemerosotan permintaan tenaga global yang pertama dalam tempoh 25 tahun itu menyebabkan pendapatan PETRONAS dalam tahun kewangan itu jatuh 18.1 peratus kepada RM216.4 bilion daripada RM264.2 bilion.

Dalam tahun kewangan dikaji, operasi di luar negara terus menjadi penyumbang utama pendapatan syarikat minyak negara itu, menyumbang 45.3 peratus atau RM98.1 bilion.

Operasi domestik pula menyumbang RM42.6 bilion, manakala eksport RM75.7 bilion.

Presiden dan Ketua Eksekutif PETRONAS, Datuk Shamsul Azhar Abbas, berkata pencapaian PETRONAS dalam tahun kewangan dikaji hampir sama dengan kebanyakan syarikat minyak dan gas global utama.
“Operasi perniagaan dalam tahun kewangan lalu agak sukar dan mencabar berikutan kemelesetan ekonomi yang memberi kesan kepada industri minyak dan gas,” katanya ketika membentangkan keputusan kewangan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Shamsul Azhar berkata, harga minyak mentah yang lebih rendah turut memberi kesan kepada pendapatan Petronas.

“Dalam tahun kewangan dikaji, harga purata minyak mentah berdasarkan penanda aras harga West Texas Intermediate turun 20 peratus kepada AS$70.59, manakala harga minyak mentah Malaysia pula turun kepada AS$72.69,” katanya.

Permintaan minyak di pasaran dunia pula katanya, merosot bagi tahun kedua berturut-turut tahun lalu iaitu kepada 84.4 juta tong sehari.

Bagaimanapun, katanya, permintaan baru dari negara ekonomi sedang meningkat telah sedikit sebanyak menampung kemerosotan permintaan dari bahagian lain di dunia.

Shamsul Azhar berkata, di sebalik kemerosotan pendapatan dan keuntungan, Petronas mengekalkan pembayaran dividen kepada kerajaan sama seperti tahun lalu iaitu sebanyak RM30 bilion.

Ia merangkumi bayaran cukai sebanyak RM18.7 bilion, hasil petroleum (RM8.3 bilion) dan duti eksport (RM0.6 bilion).

Bagaimanapun, katanya, jumlah pembayaran keseluruhan kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi tahun kewangan 2010 berkurangan sebanyak RM16.4 bilion kepada RM57.6 bilion berbanding RM74 bilion tahun sebelumnya.

“Hasil petroleum yang yang dibayar kepada kerajaan merosot sejajar kemerosotan pengeluaran domestik serta harga komoditi itu yang lebih rendah,” katanya.

Sejak beroperasi pada awal 1970-an, Petronas sudah membayar RM529 bilion kepada kerajaan dan menanggung subsidi gas berjumlah RM116 bilion

petikan daripada berita harian online

No comments:

Post a Comment